Friday, October 17, 2008

Buluhmas nafi jalankan kegiatan deposit tanpa lesen

TANJONG KARANG – Buluhmas Enterprise Sdn Bhd menafikan syarikatnya terlibat dalam menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Setiausahanya, Abu Bakar Abu Hassan berkata, syarikatnya tidak pernah menjalankan kegiatan mengambil deposit dan menjalankan aktiviti pelaburan haram sebaliknya hanya menjalankan perniagaan berkonsepkan ‘upah’.

“Buluhmas menjalankan perkhidmatan pengiklanan secara bergerak melalui pelekat kenderaan oleh ahlinya.

“Setiap yang ingin menyertai hanya dikenakan RM15 sebagai yuran dan diberi pelekat. Sekiranya mereka berjaya mencari ahli baru mereka akan dibayar RM1 untuk seorang ahli,” katanya sewaktu ditemui di hadapan syarikat tersebut, di sini semalam.

Beliau berkata, upah yang diberikan kepada ahli (promoter) bergantung pada tahap kesungguhannya untuk mendapatkan ahli baru dan selain daripada wang tunai, promoter yang berjaya mencari ahli baru juga akan diberikan kupon untuk membeli barang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, perniagaan ini diwujudkan bagi membantu pengusaha IKS meningkatkan pendapatan kerana kesemua produk yang dihasilkan akan dibeli secara tunai oleh Buluhmas.

Abu Bakar berkata, Buluhmas mendapat keuntungan 50 peratus melalui jualan produk IKS tersebut dan 20 peratus daripadanya digunakan untuk membayar upah kepada promoter yang aktif.

“Hari ini semua wakil di setiap negeri dipanggil untuk menghadiri perjumpaan bersama Ketua Pengarah Eksekutif, Ame Hamzah Mat Atar bagi menerangkan mengenai keadaan sebenar Buluhmas,” katanya.

"Buluhmas diarahkan menghentikan operasi pendaftaran ahli baru dan pembayaran upah sepanjang tempoh siasatan yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selama 90 hari bermula kelmarin, namun urusan yang lain berjalan seperti biasa," katanya.

Semalam, sebuah akhbar arus perdana tempatan melaporkan empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit diserbu BNM kelmarin.

Memetik laporan akhbar berkenaan, BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, salah satu syarikat yang terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn Bhd selain beberapa syarikat lagi.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit.

Jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau di penjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram.

No comments: