Friday, October 17, 2008

BNM arah Buluhmas henti operasi 3 bulan

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my

Syarikat tak boleh bayar upah, terima ahli baru

TANJUNG KARANG: Syarikat Buluhmas Sdn Bhd (Buluhmas) yang disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) kerana didakwa mengambil deposit secara haram dan mirip kepada skim cepat kaya sudah diarah menghentikan sementara operasi selama tiga bulan.

Setiausaha syarikat itu, Abu Bakar Abu Hassan, berkata arahan itu berkuat kuasa kelmarin dan dalam tempoh itu Buluhmas tidak boleh membayar upah kepada promoter dan tidak boleh menerima keahlian baru hingga siasatan selesai.

Beliau berkata, langkah itu untuk membolehkan akaun syarikat dikemas kini dan memudahkan BNM menyiasat dakwaan melanggar Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang melarang individu tanpa lesen menerima dan mengambil deposit.

Buluhmas dan tiga lagi syarikat diserbu kelmarin, Jazmeen (M) Sdn Bhd, Noradz Travel and Services Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001).

"Dalam tempoh tiga bulan ini, kita menghentikan operasi membayar upah dan pengambilan ahli baru hingga siasatan selesai, manakala operasi lain berjalan seperti biasa.

"Kita berharap siasatan diselesaikan lebih awal kerana 700 pemilik syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergantung kepada Buluhmas," katanya ketika ditemui di luar ibu pejabat Buluhmas di Taman Raden Jaya di sini, semalam.

Buluhmas mempunyai kira-kira 700,000 ahli di seluruh negara serta lima kedai runcit.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2006 itu pernah disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana didakwa menjalankan perniagaan sistem piramid.

Abu Bakar berkata, syarikat itu mengamalkan sistem upah kepada promoter berkonsepkan 'siapa kerja lebih akan mendapat lebih bayaran' dan sama sekali tidak mengamalkan skim cepat kaya atau mengambil deposit.

Beliau berkata, setiap ahli hanya perlu membayar RM15 yuran seumur hidup dan akan mendapat RM1 untuk membeli produk PKS, tetapi boleh menambah pendapatan menerusi pakej lain disediakan.

"Buluhmas membantu lebih 700 PKS mengembangkan perniagaan, membuka lebih 150 peluang pekerjaan dan membantu pekerja menambah pendapatan sampingan setiap bulan," katanya.

No comments: