Friday, October 17, 2008

Tamak punca skim cepat kaya terus berleluasa

Ruangan Rencana : 17 Oktober 2008

BUKAN perniagaan namanya kalau hanya ada untung dan tidak ada rugi, apatah lagi kalau untungnya berganda-ganda. Ini kerana keuntungan atau laba dalam perniagaan ada hadnya.

Adat berniaga mesti ada ketikanya untung dan adakalanya rugi, samalah juga seperti perlawanan bola sepak, ada ketikanya menang dan ada ketikanya kalah. Kerana itulah tidak ramai yang berani mengambil risiko berniaga dan bukan semua yang berniaga boleh berjaya dengan mudah dan pantas.

Hanya skim cepat kaya yang menawarkan untung berganda dan diberi jaminan oleh pengusahanya bahawa setiap pelaburan tidak akan rugi malah untungnya berganda-ganda. Hal ini berbeza dengan perniagaan-perniagaan lain yang mesti ada untung dan ruginya, terutama bagi perniagaan yang bukan bersifat monopoli.

Mereka yang kreatif dalam kerja tipu menipu, tidak mengambil kira soal halal haram dalam memperolehi pendapatan.

Golongan ini akan mengambil kesempatan mengeksploitasi dan memanipulasikan tanggapan dan kepercayaan orang ramai bahawa untuk mendapat wang dan kesenangan adalah sangat mudah melalui penganjuran skim-skim cepat kaya.

Bila Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet umpamanya sebagaimana yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik, para pelabur yang tertipu bukan berterima kasih kepada BNM, sebaliknya tindakan BNM itu dianggap sebagai suatu bentuk pengkhianatan terhadap syarikat-syarikat terbabit.

Mereka mendakwa tindakan itu sengaja menyekat peluang puluhan ribu rakyat negara ini untuk menjadi jutawan mudah. Kononnya kerana pegawai BNM tidak kreatif dan kerana dengki dengan perancangan berkesan syarikat-syarikat terbabit dalam melahirkan ribuan jutawan, maka bagi menutup kelemahan kakitangan BNM, maka serbuan terhadap syarikat-syarikat dilakukan serta disita.

Tidak banyak pelabur yang insaf atau serik, apatah lagi berpihak kepada tindakan BNM, sebaliknya lebih ramai yang bersimpati kepada syarikat skim cepat kaya.

Kerugian yang mereka tanggung bukan salah syarikat terbabit, sebaliknya kerana tindakan BNM.

Para petugas syarikat-syarikat skim cepat kaya atau ejen lazimnya berjaya meyakinkan pelabur masing-masing bahawa serbuan dan penyitaan adalah berpunca daripada salah faham kerana yang menaungi syarikat-syarikat berkenaan kononnya terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Kerana itu walaupun banyak kes syarikat skim cepat kaya hilang bersama ratusan juta wang pendeposit, tetapi apabila ada syarikat baru yang diwujudkan, maka ia tetap menjadi tumpuan ramai untuk membuat pelaburan. Lazimnya individu dan kumpulan yang sama mewujudkan syarikat skim cepat raya dengan menggunakan nama baru dan nama peneraju baru.

Oleh kerana sudah berpengalaman, maka mereka mampu untuk mengelirukan bakal pelabur apabila syarikat ditutup kerana diserbu oleh BNM. Sekali lagi yang akan dipersalahkan oleh pelabur adalah BMN.

Bagi saya kewujudan syarikat cepat kaya dan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen hanya dapat dicegah jika mereka yang terlibat sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dan ejen-ejen dikenakan hukuman yang paling tidak digemari oleh rakyat negara ini, yakni ISA.

RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan.

No comments: