Friday, October 17, 2008

Pembongkaran skim cepat kaya mesti cekap, cepat

PEMBONGKARAN kes skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama SwissCash lebih setahun lalu rupa-rupanya tidak menginsafkan rakyat Malaysia untuk terus terlibat dalam skim seumpamanya.

Buktinya semalam Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

Hakikat bahawa tiada jalan mudah dan cepat untuk menjadi kaya sememangnya sukar untuk lekat di fikiran kebanyakan manusia.

Sebab itu ada sahaja peluang untuk menggandakan wang tanpa perlu bekerja keras akan terus disambar tanpa perlu berfikir panjang sama ada kegiatan tersebut sah di sisi undang-undang atau sebaliknya.

Lebih parah lagi apabila ada kalangan pelabur segera itu menggunakan kad kredit atau terpaksa berhutang dengan orang lain semata-mata untuk menyertai skim yang tidak diketahui asal usulnya itu.

Ada juga yang sanggup bergolok bergadai gara-gara ingin meraih keuntungan segera dan menjadi kaya raya tanpa perlu memerah tenaga dan otak atau menitikkan peluh.

Akibatnya apabila kegiatan syarikat terbongkar, yang menanggung padah semestinyalah kumpulan pelabur yang bukan sahaja kehilangan wang deposit malah terpaksa menanggung hutang menggunung.

Manakala pemilik syarikat atau 'pengusaha' skim cepat kaya yang mungkin tidak mengeluarkan satu sen modal pun hanya menunggu keputusan mahkamah dalam keadaan para pelabur yang belum sempat menikmati hasil pelaburan menggigit jari.

Sudah tiba masanya atau masanya memang telah lama tiba untuk rakyat Malaysia belajar daripada kesilapan dan menerima hakikat bahawa untuk menjadi kaya raya tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.

Cerita-cerita insan berjaya termasuk yang menjadi jutawan tidak pernah sunyi daripada cabaran dan ia tidak berlaku dalam masa yang singkat seperti mana yang ditawarkan oleh skim cepat kaya.

Dalam hal ini pengusaha skim cepat kaya tidak boleh disalahkan seratus peratus. Wujudnya skim seumpama itu kerana ada permintaan serta dorongan berikutan sikap ratusan ribu penduduk di negara ini yang mahu goyang kaki sambil menunggu duit masuk ke dalam poket.

Rakyat Malaysia mesti belajar untuk tidak lagi tertipu dan menjadi mangsa skim cepat kaya yang kini semakin kreatif berselindung di sebalik pelbagai kegiatan ekonomi yang kononnya turut mendapat restu kerajaan.

Orang ramai juga mesti belajar untuk mengelak daripada terpengaruh dengan dakwaan kononnya kekayaan itu akan datang bergolek jika kena cara pelaburannya. Selain itu, BNM mesti sentiasa bersiap sedia dan cekap memantau kegiatan syarikat-syarikat yang bertopengkan pelbagai kegiatan ekonomi di sebalik deposit yang dikutip daripada orang ramai. Paling penting setiap nama pengusaha skim cepat kaya mesti disenaraihitamkan dan jejak mereka mesti sentiasa dipantau untuk mengelak pisang berbuah dua kali.

No comments: