Friday, October 17, 2008

Syarikat nafi anjur skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Salah sebuah syarikat yang diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mendakwa pihaknya tidak terlibat dalam perniagaan skim cepat kaya yang dikatakan memperdaya pelabur, pendeposit dan ahli-ahlinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Noradz, Datuk Adzhar Sulaiman mengakui sekumpulan pegawai daripada BNM hadir ke pejabatnya untuk membuat siasatan berhubung bentuk perniagaan yang dijalankan.

Katanya, pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya berhubung semua maklumat yang diperlukan oleh BNM.

Namun beliau menafikan bentuk perniagaan Kumpulan Noradz terlibat dengan skim cepat kaya seperti dilaporkan, sebaliknya ia mungkin dilakukan oleh beberapa ejen syarikat tersebut bagi memperdayakan ahli-ahli baru dengan melarikan duit deposit yang dibayar.

Jelasnya, sikap segelintir ejen yang tidak bertanggungjawab itu dilihat merosakkan nama syarikat tersebut yang telah beroperasi selama 26 tahun.

“Kita tidak nafikan beberapa ejen kita yang tidak bertanggungjawab sehingga memperdayakan pengguna mahupun ahli.

“Selaku syarikat yang bertanggungjawab, kita membantu mangsa dari segi pembayaran balik jumlah kerugian dan melaporkan kepada pihak polis,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, Noradz Travel & Services Sdn. Bhd., adalah antara empat buah syarikat mencari pelanggan melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit yang diserbu oleh pegawai BNM.

Menurut Adzhar, pihaknya menerima banyak panggilan daripada rakan kongsi dan ahli-ahli berhubung berita yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini, sejak awal pagi lagi.

No comments: