Thursday, October 23, 2008

BuluhMas pernah disahkan KPDNHEP

BUKIT RAMBAi - “KPDNHEP mengesahkan syarikat BuluhMas Sdn Bhd (BuluhMas) adalah sah di sisi undang-undang, oleh itu, kami bersetuju untuk menyertainya,” demikian luah beberapa ahli syarikat BuluhMas yang sedang disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) kerana disyaki mengambil deposit secara haram baru-baru ini.

Menurut salah seorang ahli Ahmad Zuraidi Rashid@Mustafa, 36, dari Bukit Rambai, dia pernah menghantar surat ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mendapatkan pengesahan sebelum menceburkan diri dalam syarikat agensi pengiklanan tersebut.

Hasil dari surat yang dihantar ke KPDNHEP yang berpejabat di Kompleks PKNS, Jalan Perusahaan Satu, Kuala Selangor itu sudah menjelaskan yang syarikat terbabit memiliki lesen perniagaan sah.

Jelasnya, syarikat yang berpejabat di Tanjong Karang, Kuala Selangor itu, menjalankan perniagaan secara bayaran upah kepada pelabur yang berperanan sebagai promoter.

“Ia juga menjelaskan BuluhMas bukannya syarikat jualan langsung ataupun yang mengamalkan skim piramid malah keuntungan yang diperoleh adalah hasil jualan runcit dari kedai-kedai runcit milik BuluhMas.

“Saya benar-benar terkejut apabila tiba-tiba keluar dalam akhbar tempatan mengenai arahan BNM yang mengarahkan agar BuluhMas menghentikan operasi buat sementara selama tiga bulan bagi tujuan siasatan kerana didakwa mengambil deposit secara haram dan mirip kepada skim cepat kaya.

“Oleh kerana KPDNHEP menjelaskan dan surat terbabit juga saya gunakan untuk meyakinkan orang ramai tetapi kini ianya didakwa tidak sah pula dan saya betul-betul kesal,” katanya.

Bagi Sidek Salleh, 44, pula berkata, dia kurang berpuas hati dengan laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang melaporkan mengenai berpuluh wakil negeri dan promoter BuluhMas menyerbu ibu pejabat itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Mereka yang datang ke pejabat berkenaan di Tanjong Karang atas jemputan pihak pengurusan syarikat dan bukan menyerbu seolah-olah menggambarkan hal yang negatif tentang BuluhMas.

“Kita berharap tempoh penggantungan ini tidak lama kerana ianya akan menjejaskan reputasi BuluhMas,” katanya.- Sinar Harian 17 Oktober 2008

No comments: